Pages

Thursday, February 25, 2010

Ya RAHMAN..Tenangkan ayah di alam sana..

25 Dec 2009..tarikh ini akan sentiasa tersemat di sanubariku..Saat ayahanda dijemput pulang oleh Yang maha Esa..khabar pemergiannya seolah merentap segenap urat saraf dan nadi tubuhku..Sukar untukku gambarkan perasaan ini..Hanya bagi yang telah melalui kehilangan orang tersayang sahaja mampu untuk mengerti..
Aku akur pada ketentuan..setiap yang hidup pastinya akan pergi jua..Namun siapakah yang bisa untuk menahan diri dari kesedihan lantaran menyedari bahawa diri tak mampu lagi untuk mendengar kata bicara dan nasihatnya lagi..Hilang sudah marah,leteran,gelak tawa yang sentiasa mewarnai rumah kami. Seorang ayah yang garang sifatnya tapi sarat dengan kasih sayang untuk anak-anaknya..Kalau bukan sikap garangnya..mungkin aku bukan seorang aku pada hari ini.Mampu untuk mengenal dan membezakan yang hak dan batil hasil didikan dan sikap garang ayah yang tegas dalam soal agama dan syariat..
Kenangan sewaktu kecil tak mampu ku padamkan dari ingatan.Ayah akan pastikan kami adik beradik akan solat berjemaah di surau peninggalan arwah atuk yang hanya beberapa langkah di hadapan rumah kami. Ayah juga akan pastikan kami membaca Quran 3 kali sehari.Setiap pagi sebelum ke sekolah aku akan menangis kiranya terlewat ke sekolah..namun ayah akan pastikan juga aku dan adik2 membaca Quran.."ambik keberkatan Quran katanya" selain rutin selepas zohor dan maghrib..Aku masih ingat..lantaran menunggu ayah dan cek habiskan bacaan quran mereka selepas isyak..aku dan adik sering terlena di surau.Ayah tak pernah mengejutkan kami adik beradik untuk bangun berjalan sendiri dalam keadaan termamai-mamai mengantuk.Ayah akan angkat dan dukung kami seorang demi seorang,katanya"nanti otak jadik tak elok kalau diganggu sebegitu".Aku kadang2 pura-pura tidur..lantaran malas untuk bangun berjalan sendiri.
Dalam garangnya sikap ayah..kasihnya buat kami melaut. Ayah amat berjimat cermat dalam berbelanja untuk aksesori tapi sangat boros untuk keperluan pembelajaran anak-anak..cakap sahaja berapa cikgu nak kat sekolah..ayah akan bagi tanpa banyak soal.
Aku masih ingat tatkala aku mendapat keputusan cemerlang semasa tahun akhir 4 thanawi..ayah merupakan orang yang paling gembira..Saat aku mahu melanjutkan pelajaran ke seberang laut..ayah membuat kenduri kesyukuran besar-besaran mengalahkan kenduri perkahwinan aku sendiri..Terlalu banyak kenangan-kenangan yang tak mampu ku buang dari ingatan ini..mengundang sebak yang tak tertahan..
Ayah..
Walaupun jasadmu tak dapat kami sentuh dan lihat dengan mata zahir lagi..semangat ayah sentiasa hidup dalam diri anakmu ini. sentiasa mengharap hadir ayah dalam mimpi akan mengubat kerinduan yang bersarang di hati..
Kekadang sedih memikirkan diri ini tak sempat untuk berada di samping ayah ketika hembusan nafas terakhir..namun aku yakin..ayah tak kecewa lantaran perpisahan jarak ini tak mungkin untuk ku terbang sekelip mata. Ayah orang yang mementingkan ilmu dan pelajaran..dan inshaAllah akan ku gapai impian ayah untuk melihat ku belajar hinggan PHD itu akan tertunai suatu hari nanti..
Akan ku ingat dan amalkan pesanmu .." jangan lupa doa untuk dua ibu bapa" pesan ayah sehari sebelum pemergian.
Ya Allah..tempatkan ayah bersama-sama hamba-hambaMU yang soleh dan beriman.Ampunkan lah dosanya dan kasihanilah dia sebagaimana dia mengasihaniku ketika ku kecil....

cetusan hati..
anak yang menyayangimu..
Isobel st..Bentley

Saturday, July 18, 2009

Duhai HatiKu

Seminggu lagi genap sebulan kami di bumi Perth, sekembali dari Malaysia,tanahair tercinta hatiku masih digamit kerinduan pada insan2 tersayang yang terpaksa ditinggalkan. Sesekali kerinduan itu hadir bersilih ganti dengan kerisauan yang aku sendiri tidak mampu untuk mentafsirkannya. Seakan terbayang wajah-wajah mulia itu..meskipun kedut-kedut dimamah usia kian jelas kelihatan di wajah..namun ia tak mampu menutup nur cahaya kasih menyinari wajah mereka, sejernih dan semurni keikhlasan, lautan kasih sayang dan perhatian mereka buat kami hingga saat ini. Bermacam-macam perasaan datang..bercampur-baur.. hadir silih berganti mengundang rasa pedih, pilu, sedih tatkala wajah-wajah itu hadir. Aku sendiri tak mengerti kenapa aku rasa sebegitu. Yang nyata aku amat menyayangi mereka namun kasih sayangku tak mampu menandingi kasih sayang mereka pada kami. Kasih sayang ku hanyalah setitis dibanding lautan curahan kasih sayang dan perhatian mereka buat kami. Jiwaku merintih lagi..Nyata sayang seorang anak tak mampu menandingi dan mengatasi kasih sayang ibu dan ayah terhadap anak-anaknya. Hatiku menangis..kerisauan datang..bagaimana mampu untukku balas kasih sayang mereka buat kami. Mampukah ku senangkan hati mereka dengan sekelumit kasih dan perhatianku buat mereka? Cukupkah apa yang kulakukan terhadap mereka? Hatiku bertambah risau...Kedutan di wajah menandakan usia makin bertambah tua cukup membimbangkan aku. Aku risau jika aku tak mampu berbakti kepada mereka walau ku tahu murninya hati dan kasih mereka tak pernah mengharapkan balasan itu semua. Jarak jauh yang memisahkan pandangan mata menambah beban di hati. Oh Tuhan....Peliharalah mereka...rahmatilah mereka...kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku Ya Allah Ya RAbbal alamin. Sesungguhnya aku amat menyayangi mereka.


Jua buat adik2ku tersayang...kehadiran kalian amat bererti buat kami, kita sama-sama berpimpinan tangan..berjalan,berlari kadangkala jatuh, rebah lantas bangun kembali. Walau usia kalian lebih muda dari kami namun banyak kami belajar dari kalian semua. Hidup kami lengkap dengan sokongan,bantuan,harapan dan doa dari kalian. Ingin kami ulangi bahawa kamilah insan paling bertuah memiliki kalian sebagai adik2 kami yang tersayang.

Buat anak-anak buah tercinta..kelatah nakal dan manja kalian sentiasa menjadi penghibur kami sekeluarga. Sering kami ketawa, senyum mengenangkan saat kalian semua tika bersama kami. Mulut-mulut kami tak pernah lekang bercerita mengundang tawa pengerat kasih antara kami dan kita.Semoga kalian membesar menjadi insan yang soleh dan solehah..Kami sayang kalian semua.


Aminahmunirah
Isobel street

Wednesday, July 8, 2009

Alhamdulillah..Allah masih mengizinkan aku bernafas dan menikmati kehidupan lagi. Setelah hampir dua bulan kemalangan itu berlaku, aku dan suami semakin pulih dari kecederaan. Tetap bersyukur dan gembira dengan apa yang telah dikurniakan Ilahi, walau jauh di sudut hati masih terasa suatu kehilangan. Lebih-lebih lagi tika menerima perkhabaran teman-teman menerima kehadiran permata hati yang ditunggu-tunggu. Seketika perasaan yang tak mampu kutafsirkan datang, namun cepat2 kulontar jauh perasaan itu. Walaupun begitu aku tumpang gembira dan memanjat doa semoga Allah memelihara keselamatan putera dan puteri mereka dunia dan akhirat..ameen.

Ya Allah..Engkau Maha Mengetahui segala isi hati hambamu zahir dan batin. Engkau juga Maha Mengetahui segala yang tersirat dan tersurat, baik dan buruk, untung dan rugi nasib setiap hambaMU. Justeru Ya Allah..Aku memohon belas dan ihsanMU..janganlah kau berpaling dariku walau kadar sesaat..Bantulah hambaMU ini dan pandulah aku dalam setiap tindak dan tandukku ya Allah. Selamatkan aku,suami,anak-anakku,ibubapaku,kaum keluargaku dan sahabat2ku ya Allah dari bencana api nerakaMU, segala mala petaka dan semua fitnah dunia Ya Allah.Hanya kepadaMU kami memohon perlindungan dan pertolongan Ya Allah Ya Rabbal 'Alamin. Ameen.

Aminah munirah

Tuesday, May 26, 2009

YA....ILAHI!!!

Pepatah orang tua-tua berkata: "Malang tidak berbau". Begitulah ibarat untuk satu kemalangan yang terjadi. 19 May 2009 tarikh yang akan dikenang sebagai satu ujian Allah yang hadir dalam putaran hidup kami. Menjadi penyebab kehilangan bayi yang ditunggu -tunggu kehadirannya dan hampir meragut nyawaku dan suami.

Namun apakan daya..iradat dan kudrat insan tak mampu menghalang takdir yang tersurat. Ujian itu datang untuk menguji ketabahan dan kesabaranku dan suami. Namun di sebalik ujian yang hadir ini..ternyata terlalu banyak hikmah, pelajaran dan pengajaran yang perlu diambil.

Terlalu banyak aku belajar dari ujian ini. Sesungguhnya kasih sayang Allah Maha luas untuk hambanya.Di sebalik Dia menguji kita..Dia hadirkan seribu hikmat lain yang tak terhitung oleh perkiraan kita.

Berada di rantauan..barangkali ada yang berfikir tentunya berbagai kesukaran menjelma tatkala diuji sebegini. Namun ternyata Dia meringankan beban yang ditanggung malah mengeratkan lagi jalinan ikatan kekeluargaan dan ukhuwwah yang terjalin. Perhatian dan bantuan saudara, kehadiran teman,sahabat dan rakan-rakan silih berganti,tanpa lekang menyuntik kata-kata semangat buatku dan suami amat mengharukan kami. Di sini aku banyak belajar erti pengorbanan,persahabatan dan ukhuwwah dari kalian semua. Dari hari pertama kami di hospital kalian semua tidak putus-putus datang menziarahi,menghulurkan berbagai bantuan dan pertolongan yang hanya DIA sahaja mampu membalasnya.

Sokongan demi sokongan ku perolehi dari kalian semua.Segalanya tak pernah aku terfikir...sebanyak ini kalian hulurkan. Ku percaya bahawa semua itu hadir bukan atas dasar membalas budi atau berbahasa, lantaran aku tak pernah memberi apa-apa pada kalian semua. Namun aku yakin segala pakej yang hadir menyokong dan membantu aku dan suami hanya didasari oleh tautan persaudaraan yang didasari iman dan aqidah yang satu.

Aku cuba menghitung..mengira..memuhasabah diri..apa yang tersirat di sebalik limpahan perhatian,sokongan,bantuan dan pertolongan yang melimpah ruah di saat ini. Cuba ku mencari apakah ini balasan dari sesuatu yang pernah kulakukan?? Oh...Ternyata tidak...aku tak menemui jawapannya,kerana aku hanyalah insan kerdil yang seringkali alpa pada Penciptanya, seorang saudara yang selalu tak mampu memenuhi hajat saudara sendiri dan seorang sahabat yang sering lalai untuk menunaikan hak sahabatnya.Siapalah aku untuk menperolehi segala keistimewaan ini lantaran kerana satu balasan.

Cuma apa yang aku terlalu pasti..rahmatNYA,kasihNYA terlalu melaut buat semua hamba-hambaNYA. Biarpun hambanya sentiasa lalai namun kasihNYA tak pernah kontang. Biarpun hambaNYA seringkali cuai namun perhatianNYA tak pernah kekeringan. Itulah sifat Pencipta kita Allah Azza wajalla..Yang MAha Pengasih dan Maha Penyayang.

Aminah Munirah..

Monday, May 25, 2009

Aminah Murshidah

Aminah Murshidah..nama itu ummi abadikan buat Aminah puteri ummi dan abi. Walau kehadiran Aminah hanya seketika, Ummi redha dengan ketentuan Ilahi..Pencipta ummi dan Aminah. Siapalah Ummi untuk menolak kehendak Dia. Walau Ummi telah lama menunggu kehadiran Aminah di sisi..ummi pasrah bahawa Allah lebih menyayangi Aminah.

Pun begitu..ummi bersyukur Dia masih mengizinkan ummi dan abi menatap wajah Aminah. Subhanallah..Hanya itu yang ummi dan abi mampu lafazkan tatkala menatap wajah puteri ummi.Walau umur Aminah hanya 19 weeks dalam kandungan ummi tika Allah mengizinkan Aminah keluar ke dunia, namun keajaiban dan kekuasaan Ilahi itu tak mampu ummi ungkapkan dengan kata-kata. Allah telah mencipta fizikal Aminah cukup sempurna..bibir dan hidung yang cantik,kening yang lebat, jemari kaki dan tangan dihiasi kuku yang cukup sempurna.SUBHANALLAH!!

Saat pertama kali Aminah diletakkan di atas dada ummi, ummi rasakan bagaikan hidup ummi lengkap dengan kehadiran seorang puteri yang sudah lama dinanti. Seakan hilang segala kesakitan yang ummi tanggung saat itu. 10 jam Aminah diletakkan di sebelah ummi sementara menunggu saat disemadikan...Ummi mengambil kesempatan menatap wajah Aminah sepuas-puasnya. Namun ummi sedar ummi tak mampu mengembalikan nyawa Aminah.Hanya jasad Aminah penghibur ummi. Pun Ummi bersyukur Tuhan mengurniakan kekuatan untuk ummi menghadapi dugaan yang amat berat ini.

Tatkala jasad Aminah dipisahkan dari ummi untuk dibawa pergi..Sedaya mampu ummi mencari kekuatan..mengingatkan diri bahawa ummi juga akan menuju ke sana suatu hari nanti,cuma Aminah yang mendahului ummi. Namun ummi tak mampu menahan airmata dari terus tumpah. Ummi hanya mampu melihat Aminah di bawa pergi, diiringi Abi, abang Mujahid dan abang Muaz. Sempat ummi lihat mereka turut menyeka airmata dari tumpah.Ummi tahu mereka juga amat sedih dengan pemergian Aminah kerana kehadiran Aminah seakan tidak sabar mereka menunggu. Namun kami semua pasrah atas ketentuannya.

Nama Aminah akan terus terpahat di hati ummi,abi, abang Mujahid dan abang Muaz. Walaupun mungkin ditakdirkan Allah ummi dianugerahkan puteri yang lain sebagai ganti Aminah, namun tiada siapa yang dapat menafikan kehadiran Aminah di hati Ummi. Justeru Ummi abadikan nama cantik ini "Aminah Murshidah" buat Aminah "Puteri Pertama Ummi dan Abi".Semoga kita dipertemukan Allah di alam yang lain nanti.Ameen...


Ummi

Thursday, May 7, 2009

Life must go on.

Berada jauh di seberang laut, terasa benar diri ini seorang perantau. Sesekali beberapa persoalan menggamit perasaan. "Adakah begini rentak usia kuhabiskan? Berbaloikah sekelumit usaha yang mampu kubuat berbanding dengan separuh abad umur bakal dihabiskan dirantauan? Andai umurku masih panjang,apakah saki-baki usiaku di tanah kelahiran nanti mampu memberi ruang yang memadai untukku berbakti?

Ahhh..tak mampu untukku jawab sendiri persoalan2 ini.Nyata bukan qudratku untukmenjamin segalanya memuaskan hati sendiri. Bukan jua qudratku untuk menganyam rentak kehidupan agar senada dengan iradatku.Segalanya terpulang pada IRADAT dan QUDRATNYA, pencipta aku.

Ternyata sebagai insan, kita hanya mampu merancang berbagai plan corak dan rentak kehidupan, berusaha agar segala perancangan itu bergerak, aktif dan ada kemajuan, berdoa semoga plan dan pergerakannya sentiasa berada di landasan syarakNYa dan menjadi penyebab kepada restu dan redhaNYa akhirnya hanya tawakkal penyudah segalanya moga perancangan seorang insan kerdil ini memberi kesudahan yang baik untuk agama dan dunianya.

Kekadang peluang yang Allah kurniakan tidak digunakan sebaik-baiknya. Lantas mengundang penyesalan yang tak bertepian di kemudian hari. Begitu jua aku..belajar dari kesilapan lalu, seboleh-bolehnya takkan kupersiakan ruang dan peluang yang ada. Cuba ku usaha dengan segala kudrat yang ada agar semua impian dirantauan ini tercapai dengan jayanya.

1-Menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman dirantauan.Cuba menghayati dan memahami setiap perkara yang hadir dalam hidup.Memanfaatkan ilmu sebaik-baiknya. Berusaha menjadi sebiji kelapa bukannya buih-buih di lautan demi RedhaNYA.

2-Berusaha mencapai impian menghabiskan pengajian phd dengan jayanya.ameen.

3-Menggunakan peluang memahirkan bahasa Inggeris untuk seisi keluarga.

4-Menyediakan pendidikan yang baik "better education"untuk anak2.Cuba mengenalpasti kecenderungan anak-anak, memupuk,menggalak dan menyediakan ruang yang baik dan sesuai untuk mereka.

5-Menjana financial untuk keharmonian keluarga tercinta:
5.1:mampu menyediakan accomodation yang baik apabila pulang ke tanahair.
5.2:Mempunyai investment untuk sokongan ekonomi keluarga.
5.3:Mempunyai saving untuk education anak2 at least 4 tahun pengajian di university.

Semoga segala perancangan direstui Ilahi..ameen.

Isobel street

Friday, April 10, 2009

hamalathu ummuhu wahnan 'ala wahnin

Tanpa disedari, usia kandungan ini sudah melewati 14 minggu. Bermakna tempoh first trimester yang begitu mencabar telah selamat berlabuh. Namun bagiku..tiada banyak perubahan yang begitu ketara. Morning sickness masih lagi terasa bahangnya.Ohhhhh! Tuhanku..Kurniakanlah kesabaran dan kekuatan yang berpanjangan untuk hambaMu ini.

Terasa dan tersentuh benar hati ini tika mengulangi firmanMu "Hamalathu Ummuhu wahnan 'ala wahnin". Sesungguhnya Engkau Maha Mengerti dan Memahami. Betapa tinggi pengertianMu dan betapa besar penghargaanMu untuk kami kaum ibu. Tiba-tiba aku terasa begitu kerdil sekali untuk menerima penghargaan yang maha besar itu. Ya Allah..Ya Tuhanku..diri ini terasa amat malu untuk menerima hakikat bahawa Engkau Amat mengerti segala keperitan ini walhal aku sendiri kekadang lupa padaMu sedang kasih dan pengertianMu begitu melangit dan meluas. Ya Allah..Ampunilah segala dosa-dosaku..

Hari-hari menjalani kehidupan sebagai insan yang sering dirundung keletihan dan kepenatan sering membantut rutin harian. Banyak kerja dan tanggungjawab yang harus ditunaikan walau kudrat yang ada begitu terbatas. Sedaya mungkin aku cuba mengatasi tekanan yang hadir namun kekadang aku tewas.Ku cuba bangkit,ku pujuk dan ku berkata pada hati.."Wahai diri..Bangunlah!! Anak yang bakal kau lahirkan akan menjadi saksi untuk secebis pengorbananmu ini."

Rupa-rupanya IhsanMu Tuhan untukKu tidak pernah kontang. Kehadiran teman dan sahabat di sekelilingku membisik kalam doa dan kata-kata penguat semangat tika diri ini jauh dari ibubapa dan sanak-saudara tidak pernah lekang dari telinga ini. Apatah lagi anugerahMu yang tidak ternilai buatku sejak kami diijabkabulkan, seorang suami yang begitu mengerti dan hadiahMU buat kami putera-putera yang memahami dan sedia membantu. Alhamdulillah..Terima kasih TUHAN..

Aminah Munirah..
Isobel str.