Pages

Friday, April 10, 2009

hamalathu ummuhu wahnan 'ala wahnin

Tanpa disedari, usia kandungan ini sudah melewati 14 minggu. Bermakna tempoh first trimester yang begitu mencabar telah selamat berlabuh. Namun bagiku..tiada banyak perubahan yang begitu ketara. Morning sickness masih lagi terasa bahangnya.Ohhhhh! Tuhanku..Kurniakanlah kesabaran dan kekuatan yang berpanjangan untuk hambaMu ini.

Terasa dan tersentuh benar hati ini tika mengulangi firmanMu "Hamalathu Ummuhu wahnan 'ala wahnin". Sesungguhnya Engkau Maha Mengerti dan Memahami. Betapa tinggi pengertianMu dan betapa besar penghargaanMu untuk kami kaum ibu. Tiba-tiba aku terasa begitu kerdil sekali untuk menerima penghargaan yang maha besar itu. Ya Allah..Ya Tuhanku..diri ini terasa amat malu untuk menerima hakikat bahawa Engkau Amat mengerti segala keperitan ini walhal aku sendiri kekadang lupa padaMu sedang kasih dan pengertianMu begitu melangit dan meluas. Ya Allah..Ampunilah segala dosa-dosaku..

Hari-hari menjalani kehidupan sebagai insan yang sering dirundung keletihan dan kepenatan sering membantut rutin harian. Banyak kerja dan tanggungjawab yang harus ditunaikan walau kudrat yang ada begitu terbatas. Sedaya mungkin aku cuba mengatasi tekanan yang hadir namun kekadang aku tewas.Ku cuba bangkit,ku pujuk dan ku berkata pada hati.."Wahai diri..Bangunlah!! Anak yang bakal kau lahirkan akan menjadi saksi untuk secebis pengorbananmu ini."

Rupa-rupanya IhsanMu Tuhan untukKu tidak pernah kontang. Kehadiran teman dan sahabat di sekelilingku membisik kalam doa dan kata-kata penguat semangat tika diri ini jauh dari ibubapa dan sanak-saudara tidak pernah lekang dari telinga ini. Apatah lagi anugerahMu yang tidak ternilai buatku sejak kami diijabkabulkan, seorang suami yang begitu mengerti dan hadiahMU buat kami putera-putera yang memahami dan sedia membantu. Alhamdulillah..Terima kasih TUHAN..

Aminah Munirah..
Isobel str.