Pages

Wednesday, June 18, 2008

Kasih mereka padanya s.a.w


Air mata mengalir..melilih..hatiku sebak seketika. Ku letak seketika kitab sirah itu..lantas cepat-cepat tangan menyeka airmata di pipi.Sungguh agung kasih para Sahabatmu terhadapmu Ya Rasulullah.
(An outing to Harbour Town with Khali Ya)
Walau berkali-kali sudah kisah riwayat hidup baginda Rasulullah s.a.w ditatapi namun sirah tersebut seakan tak puas untuk ditatap buat kesekian kali lagi.

Terbayangkah kita andainya kita kehilangan seseorang yang amat kita kasihi dan sayangi. Atau paling kurang kita pernah melihat atau membaca kisah mereka yang kehilangan ibu,ayah,suami atau anak yang amat dicintai. Sudah tentu kejutan tersebut membuatkan mereka tercengang seakan tidak menyangka orang yang disayangi sudah tiada lagi. Atau barangkali kehidupan mereka menjadi tidak terurus untuk beberapa tempoh kerana masih tidak dapat menerima kenyataan sebuah kehilangan.

Keadaan ini tidak pelik bagi manusia yang mempunyai pertalian nasab dan darah..

Namun pemergian Baginda Rasulullah s.a.w menghadap Kekasihnya yang tercinta telah ditangisi oleh ribuan sahabat baginda s.a.w.Mereka tidak pernah mempunyai pertalian darah mahupun nasab dengan baginda. Sebahagiannya pernah menjadikan Rasulullah s.a.w musuh yang paling dibenci. Namun siapa sangka hadirnya hidayah,berakarnya iman dan berbunganya ukhuwwah telah membibitkan rasa cinta dan kasih yang mendalam terhadap baginda rasulullah s.a.w. Ternyata kasih para sahabat r.a terhadap baginda s.a.w terlalu agung melebihi kasih ibu terhadap anak dan mengatasi kasih anak terhadap ibu.Ingatkah kita tatkala Mus'ab Umayr berhadapan dengan kerenah ibunya yang tidak mahu menyentuh walau secebis makanan atau seteguk minuman lantaran kecewa di atas pilihan Islam anaknya.Ingatkah kita Zayd adduthanah pernah berkata tatkala disaat dia disiksa..orang musyriq pernah menawarkan pilihan kepadanya."Mahukah tempat engkau ini digantikan oleh Muhammad dan engkau akan kulepaskan bebas?" Zayd berkata "Demi Allah aku tidak sanggup melihat walau sebilah duri pun menikam Muhammad sedangkan aku bersenang-senang dengan keluargaku".

Nah inilah sebahagian bukti kasih dan cinta para sahabat r.a terhadap baginda s.a.w.





Lantaran itu ketika berita kewafatan baginda s.a.w diketahui,mereka tercengang,kebingungan seolah tidak dapat menerima kenyataan. Sayyidina Umar cuba memujuk dirinya dengan berkata baginda menghilang seketika untuk bertemu dengan Allah seperti nabi Musa bertemu Tuhannya. Setelah mendengar bicara dan nasihat sayyidina Abu Bakr"Barang siapa yang menyembah Muhammad..Muhammad telah mati Barang siapa yang menyembah Allah Dialah TUhan yang kekal abadi" lantas Umar rebah ke bumi.

Kewafatan baginda s.a.w memang tidak dijangka oleh para sahabar r.a lantaran senyuman akhir baginda tatkala beliau menguak tirai menyaksikan saf jemaah sahabatnya tersusun rapi untuk menunaikan solat berjemaah.Senyuman murni penuh tulus itu disangka mereka senyuman orang yang beransur sembuh dari sakitnya yang kuat tanpa menyedari senyuman itu merupakan senyuman terakhir yang tidak akan mereka saksikan lagi sampai ke akhir dunia.


Itulah kasih baginda terhadap para sahabatnya dan ummatnya yang terlalu agung. Hingga disaat-saat kematiannya masih berfikir tentang ummatnya tercinta. Saat sakaratulmaut hampir tiba beberapa detik lagi, baginda s.a.w masih sempat tersenyum menatap dan memerhati para sahabatnya tercinta.Masih mampu untuk mengukir senyuman tulus murninya hinggakan senyuman tersebut tak mampu dipadam dari ingatan para sahabat yang menyaksikannya.



Bilal r.a sering menitis airmata tatkala merindui Rasulullah s.a.w. Kerinduannya yang mendalam terhadap baginda s.a.w membuatkannya tak mampu lagi untuk mengalunkan azan setelah kewafatan baginda s.a.w. Itulah kasih para sahabat r.a terhadap baginda s.a.w. Moga kasih kita terhadap junjungan mulia itu juga seagung kasih mereka padanya s.a.w.



Secebis nukilan:dianella Perth



No comments: