Pages

Tuesday, May 26, 2009

YA....ILAHI!!!

Pepatah orang tua-tua berkata: "Malang tidak berbau". Begitulah ibarat untuk satu kemalangan yang terjadi. 19 May 2009 tarikh yang akan dikenang sebagai satu ujian Allah yang hadir dalam putaran hidup kami. Menjadi penyebab kehilangan bayi yang ditunggu -tunggu kehadirannya dan hampir meragut nyawaku dan suami.

Namun apakan daya..iradat dan kudrat insan tak mampu menghalang takdir yang tersurat. Ujian itu datang untuk menguji ketabahan dan kesabaranku dan suami. Namun di sebalik ujian yang hadir ini..ternyata terlalu banyak hikmah, pelajaran dan pengajaran yang perlu diambil.

Terlalu banyak aku belajar dari ujian ini. Sesungguhnya kasih sayang Allah Maha luas untuk hambanya.Di sebalik Dia menguji kita..Dia hadirkan seribu hikmat lain yang tak terhitung oleh perkiraan kita.

Berada di rantauan..barangkali ada yang berfikir tentunya berbagai kesukaran menjelma tatkala diuji sebegini. Namun ternyata Dia meringankan beban yang ditanggung malah mengeratkan lagi jalinan ikatan kekeluargaan dan ukhuwwah yang terjalin. Perhatian dan bantuan saudara, kehadiran teman,sahabat dan rakan-rakan silih berganti,tanpa lekang menyuntik kata-kata semangat buatku dan suami amat mengharukan kami. Di sini aku banyak belajar erti pengorbanan,persahabatan dan ukhuwwah dari kalian semua. Dari hari pertama kami di hospital kalian semua tidak putus-putus datang menziarahi,menghulurkan berbagai bantuan dan pertolongan yang hanya DIA sahaja mampu membalasnya.

Sokongan demi sokongan ku perolehi dari kalian semua.Segalanya tak pernah aku terfikir...sebanyak ini kalian hulurkan. Ku percaya bahawa semua itu hadir bukan atas dasar membalas budi atau berbahasa, lantaran aku tak pernah memberi apa-apa pada kalian semua. Namun aku yakin segala pakej yang hadir menyokong dan membantu aku dan suami hanya didasari oleh tautan persaudaraan yang didasari iman dan aqidah yang satu.

Aku cuba menghitung..mengira..memuhasabah diri..apa yang tersirat di sebalik limpahan perhatian,sokongan,bantuan dan pertolongan yang melimpah ruah di saat ini. Cuba ku mencari apakah ini balasan dari sesuatu yang pernah kulakukan?? Oh...Ternyata tidak...aku tak menemui jawapannya,kerana aku hanyalah insan kerdil yang seringkali alpa pada Penciptanya, seorang saudara yang selalu tak mampu memenuhi hajat saudara sendiri dan seorang sahabat yang sering lalai untuk menunaikan hak sahabatnya.Siapalah aku untuk menperolehi segala keistimewaan ini lantaran kerana satu balasan.

Cuma apa yang aku terlalu pasti..rahmatNYA,kasihNYA terlalu melaut buat semua hamba-hambaNYA. Biarpun hambanya sentiasa lalai namun kasihNYA tak pernah kontang. Biarpun hambaNYA seringkali cuai namun perhatianNYA tak pernah kekeringan. Itulah sifat Pencipta kita Allah Azza wajalla..Yang MAha Pengasih dan Maha Penyayang.

Aminah Munirah..

Monday, May 25, 2009

Aminah Murshidah

Aminah Murshidah..nama itu ummi abadikan buat Aminah puteri ummi dan abi. Walau kehadiran Aminah hanya seketika, Ummi redha dengan ketentuan Ilahi..Pencipta ummi dan Aminah. Siapalah Ummi untuk menolak kehendak Dia. Walau Ummi telah lama menunggu kehadiran Aminah di sisi..ummi pasrah bahawa Allah lebih menyayangi Aminah.

Pun begitu..ummi bersyukur Dia masih mengizinkan ummi dan abi menatap wajah Aminah. Subhanallah..Hanya itu yang ummi dan abi mampu lafazkan tatkala menatap wajah puteri ummi.Walau umur Aminah hanya 19 weeks dalam kandungan ummi tika Allah mengizinkan Aminah keluar ke dunia, namun keajaiban dan kekuasaan Ilahi itu tak mampu ummi ungkapkan dengan kata-kata. Allah telah mencipta fizikal Aminah cukup sempurna..bibir dan hidung yang cantik,kening yang lebat, jemari kaki dan tangan dihiasi kuku yang cukup sempurna.SUBHANALLAH!!

Saat pertama kali Aminah diletakkan di atas dada ummi, ummi rasakan bagaikan hidup ummi lengkap dengan kehadiran seorang puteri yang sudah lama dinanti. Seakan hilang segala kesakitan yang ummi tanggung saat itu. 10 jam Aminah diletakkan di sebelah ummi sementara menunggu saat disemadikan...Ummi mengambil kesempatan menatap wajah Aminah sepuas-puasnya. Namun ummi sedar ummi tak mampu mengembalikan nyawa Aminah.Hanya jasad Aminah penghibur ummi. Pun Ummi bersyukur Tuhan mengurniakan kekuatan untuk ummi menghadapi dugaan yang amat berat ini.

Tatkala jasad Aminah dipisahkan dari ummi untuk dibawa pergi..Sedaya mampu ummi mencari kekuatan..mengingatkan diri bahawa ummi juga akan menuju ke sana suatu hari nanti,cuma Aminah yang mendahului ummi. Namun ummi tak mampu menahan airmata dari terus tumpah. Ummi hanya mampu melihat Aminah di bawa pergi, diiringi Abi, abang Mujahid dan abang Muaz. Sempat ummi lihat mereka turut menyeka airmata dari tumpah.Ummi tahu mereka juga amat sedih dengan pemergian Aminah kerana kehadiran Aminah seakan tidak sabar mereka menunggu. Namun kami semua pasrah atas ketentuannya.

Nama Aminah akan terus terpahat di hati ummi,abi, abang Mujahid dan abang Muaz. Walaupun mungkin ditakdirkan Allah ummi dianugerahkan puteri yang lain sebagai ganti Aminah, namun tiada siapa yang dapat menafikan kehadiran Aminah di hati Ummi. Justeru Ummi abadikan nama cantik ini "Aminah Murshidah" buat Aminah "Puteri Pertama Ummi dan Abi".Semoga kita dipertemukan Allah di alam yang lain nanti.Ameen...


Ummi

Thursday, May 7, 2009

Life must go on.

Berada jauh di seberang laut, terasa benar diri ini seorang perantau. Sesekali beberapa persoalan menggamit perasaan. "Adakah begini rentak usia kuhabiskan? Berbaloikah sekelumit usaha yang mampu kubuat berbanding dengan separuh abad umur bakal dihabiskan dirantauan? Andai umurku masih panjang,apakah saki-baki usiaku di tanah kelahiran nanti mampu memberi ruang yang memadai untukku berbakti?

Ahhh..tak mampu untukku jawab sendiri persoalan2 ini.Nyata bukan qudratku untukmenjamin segalanya memuaskan hati sendiri. Bukan jua qudratku untuk menganyam rentak kehidupan agar senada dengan iradatku.Segalanya terpulang pada IRADAT dan QUDRATNYA, pencipta aku.

Ternyata sebagai insan, kita hanya mampu merancang berbagai plan corak dan rentak kehidupan, berusaha agar segala perancangan itu bergerak, aktif dan ada kemajuan, berdoa semoga plan dan pergerakannya sentiasa berada di landasan syarakNYa dan menjadi penyebab kepada restu dan redhaNYa akhirnya hanya tawakkal penyudah segalanya moga perancangan seorang insan kerdil ini memberi kesudahan yang baik untuk agama dan dunianya.

Kekadang peluang yang Allah kurniakan tidak digunakan sebaik-baiknya. Lantas mengundang penyesalan yang tak bertepian di kemudian hari. Begitu jua aku..belajar dari kesilapan lalu, seboleh-bolehnya takkan kupersiakan ruang dan peluang yang ada. Cuba ku usaha dengan segala kudrat yang ada agar semua impian dirantauan ini tercapai dengan jayanya.

1-Menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman dirantauan.Cuba menghayati dan memahami setiap perkara yang hadir dalam hidup.Memanfaatkan ilmu sebaik-baiknya. Berusaha menjadi sebiji kelapa bukannya buih-buih di lautan demi RedhaNYA.

2-Berusaha mencapai impian menghabiskan pengajian phd dengan jayanya.ameen.

3-Menggunakan peluang memahirkan bahasa Inggeris untuk seisi keluarga.

4-Menyediakan pendidikan yang baik "better education"untuk anak2.Cuba mengenalpasti kecenderungan anak-anak, memupuk,menggalak dan menyediakan ruang yang baik dan sesuai untuk mereka.

5-Menjana financial untuk keharmonian keluarga tercinta:
5.1:mampu menyediakan accomodation yang baik apabila pulang ke tanahair.
5.2:Mempunyai investment untuk sokongan ekonomi keluarga.
5.3:Mempunyai saving untuk education anak2 at least 4 tahun pengajian di university.

Semoga segala perancangan direstui Ilahi..ameen.

Isobel street