Pages

Thursday, March 4, 2010

Peribadi muslim mukmin..

Rabi'ulawwal datang lagi, ummat Islam menyambut bulan kelahiran junjungan besar tercinta.Pastinya selawat dan salam untuk baginda menjadi siulan lidah dan halwa telinga.Berarak sambil membawa bunga manggar tentunya rutin yang tak sempurna rasanya kalau tak dilunaskan kebanyakkan orang di sekeliling kita.

Namun hati bertanya: "Sebagai muslim,apakah sekadar itu makna sambutan hari kelahiran Rasulullah s.a.w, insan terhormat dimuliakan seluruh penduduk bumi dan langit?""Cukup bermaknakah penghormatan sebegitu kita berikan kepada Baginda s.a.w?" Hatiku terus berkata,berbagai persoalan lain datang bertimpa-timpa menggamit rasa yang sukar untuk diperkata. Lantaran dihayat baginda s.a.w ketika masih hidup,beliau sendiri pun tidak pernah menyambut hari kelahirannya. Tiada sebarang majlis keraian mahupun perarakan apatah lagi acara memotong kek. Justeru apakah tujuan sambutan kelahiran baginda s.a.w.

Bimbang hatiku andainya kita hanya menyambut tanpa cuba memahami dan menghayati ruh di sebalik sambutan kelahiran Baginda s.a.w. Aku risau andainya sambutan itu persis sambutan penganut Kristian terhadap kelahiran Jesus (nabi Isa a.s) yang menjadi adat seakan darah daging dalam kehidupan mereka. Ajaran sebenar nabi Isa hampir sudah dilupai oleh keseluruhan penganutnya,namun sambutan kelahiran beliau disambut besar-besaran seolah Isa a.s masih bernafas di muka bumi Allah ini.

Pastinya kita tidak mahu hanya gembira menyambut hari kelahiran baginda semata. Sejarah pernah melakar kegembiraan insan bernama Abu Lahab yang terlalu gembira menyambut berita kelahiran anak saudaranya bernama MUHAMMAD. Lantaran kegembiran itu, beliau menyembelih seekor kambing namun Abu Lahab gagal untuk memahami erti kelahiran Muhammad hingga telah menjadi orang yang sentiasa ingin menguburkan hayat baginda s.a.w.

Andai mampu kita soroti hikmah kenabian baginda diutuskan yang membawa cahaya ke segenap penjuru alam adalah detik terindah dalam hidup seorang muslim. Tentunya menambah keinsafan di hati,menghidupkan jiwa dan membajai iman kita.

Hadirnya Rasulullah membawa mesej ketuhanan di atas pakej kenabian melengkapkan kesempurnaan kejadian manusia.Allah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian:

"لقد خلقنا الإنسان في أحسن تقويم"
"Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia itu dengan sebaik-baik bentuk kejadian"

Cantik rupa paras,sempurna bentuk kejadian serta dikurniakan akal untuk membantu manusia membezakan yang baik dan buruk adalah antara faktor yang sepatutnya manusia dimuliakan.
Namun jangan kita lupa bahawa keelokkan itu bukan jaminan kita terselamat dari kehinaan yang maha dasyat. Allah s.w.t telah menegaskan:

ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ * إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ
"kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya.Kecuali orang-orang yang beriman dan melakukan amal kebaikan maka mereka akan memdapat pahala yang tidak ada putus-putus."

Nah! Amaran Allah bahawa Dia akan mencampakkan manusia ke lembah kehinaan,keburukkan dan kedhaifan lantaran sikap, perangai dan akhlak yang tidak pernah bersyukur terhadap anugerah kejadiaannya dan memuliakan ciptaan Allah pada dirinya.

Bagaimana cara untuk kekal dalam sebaik-baik bentuk kejadian? Tiada cara lain melainkan beriman kepada Allah dan melakukan amalan serta perbuatan yang baik. Awas wahai teman, mengakui bahawa diri beriman tanpa ada pembuktian dengan perbuatan dan amalan tidak memberi apa-apa jaminan. Cinta tanpa bukti tidak ada erti. Begitu juga iman tanpa amal tidak berguna. Kita percaya ada cinta dihati,lantas lidah dan bibir menuturkan ayat2 cinta kemuncaknya zahir perbuatan membuktikan kasih dan cinta yang tidak berbelah bahagi. Begitu juga cinta,kasih dan sayang pada Allah Rabbul 'Izzati.

Kehadiran Junjungan mulia Rasulullah s.a.w ke dunia mengajar dan menunjukkan cara bagaimana untuk beramalan mulia.

قال حبيبنا عليه الصلاة والسلام " إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق" (صححه الألباني في الصحيحة)"
وقال عليه الصلاة والسلام :" أكثر ما يدخل الناس الجنة، تقوى اللّه وحسن الخلق " [رواه الترمذي والحاكم].

"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak"
"Orang yang paling banyak memasuki syurga ialah orang yang bertaqwa dan baik akhlaknya"

Akhlak dan tingkahlaku yang mulia dan baik tidak pernah mengecewakan hatta satu makhlukpun di dunia ini. Seluruh penghuni alam pastinya akan senang dengan kehadiran insan yang berakhlak mulia. Sejarah membuktikan bahawa akhlak mulia Rasulullah s.a.w telah menawan hati puluhan ribu manusia untuk mengenal agama yang menyeru ke arah akhlak yang baik ini.

Amal kebaikkan yang berupa akhlak yang baik menjadi perhiasan dalam kehidupan mukmin hasil dari keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Yakin bahawa Allah Maha melihat, mendengar dan Maha Mengetahui samada yang zahir mahu pun batin memandu mukmin untuk bersikap jujur dengan Allah dan seluruh manusia. Alangkah indahnya menjadi muslim mukmin, iman yang terpasak, taqwa yang dibajai, akhlak murni yang menghiasi diri pastinya tidak dipersia-siakan ILAHI..Janji Rabbul Izzati bahawa si empunya diri yang beriman,bertaqwa dan berakhlak mulia dengan syurga Firdausi menanti pasti Dia penuhi.

Isobel street

No comments: