Pages

Monday, March 15, 2010

Sayangi mereka!!!

Berehat sambil berbaring bersama anak2 dan suami saat paling merehatkan.Setelah seharian sibuk dengan tugas,kerja dan sekolah.. saat-saat seperti ini bagaikan ditunggu-tunggu kami semua"Umi..which one do you think, elephant should be in wild or zoo?" Adik tiba-tiba bertanya.."ishh adik nih..nape pulak nak letak dia dalam zoo, biarlah elephant tu duk dalam hutan" aku menjawab tanpa memahami maksud pertanyaan anakku ini."Muaz.. you know, elephants would live more longger if they in wild,zoo can makes their age even shorter".Along mencelah, dari tadi duk depan laptop tapi pasang telinga mendengar perbualan di sekeliling."I knowwww.. but living in zoo more safety ,no one can kill them,if they live in wild,poaches will kill them."Adik akhirnya meluahkan kebimbangan terhadap kepupusan hidupan dan alam sekitar. "Adik tahu tak.. kalau bukan kerana poaches pun..orang tetap bunuh binatang tau" Aku menambah"Yeaa..they do bad things on environment..ruin their habitat, their foods..so animals would die".Muaz sungguh aware terhadap alam dan haiwan..Aku masih ingat lagi..waktu kami pulang bercuti di Malaysia 3 tahun lepas, dia sibuk bertanya bila melihat banyak bukit-bukit yang gondol.Tiba-tiba Along bersuara"My teacher said that Amazon rainforest has lost a soccer oval every ten seconds"
MUaz menggeleng-geleng kepala.Jelas riak-riak kesal di wajahnya."Along nge adik tahu tak, Allah dah bagi warning kat manusia awal-awal dalam al-Quran.Tapi kita tak aware dengan amaran ayat2 Allah". Aku cuba kembalikan mereka pada peringatan Maha Pencipta mereka juga PEncipta animal kesayangan dan alam sekitar yang mereka cintai.

Benarlah Firman Allah:
( ظهر الفساد في البر والبحر بما كسبت أيدي الناس ليذيقهم بعض الذي عملوا لعلهم يرجعون ( الروم 41
Maksudnya:Telah zahir kerosakkan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan manusia.Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian dari akibat perbuatan mereka agar mereka kembali ke jalan yang benar..

"Allah MAha Mengetahui sesuatu benda sejak azali. So DIA dah ingatkan kita dalam al-Quran.TApi manusia buat tak endah je.Mungkin ini juga akibat kerana tak mentadabbur ayat2 Allah, menyebabkan mereka tak aware dengan amaran dan peringatan Allah..So sekarang lihatlah..siapa yang rugi??"

Anak-anakku mengangguk-angguk kepala.Jauh di sudut hati,aku memanjat doa agar kasih yang tersemai terhadap semua makhluk ciptaan Allah di hati mereka berpanjangan dan berkekalan.
Sejak mereka kecil lagi,ku cuba titipkan kata-kata yang boleh membantu mereka mengasihi makhluk Allah yang lain.
Anak-anak kecil memang sukakan haiwan dan binatang. Dinasour,whale,elephant,tiger antara binatang-binatang yang mereka kagumi.
Justeru aku menggunakan kesempatan ini untuk menceritakan akibat dari sungai dan laut yang tercemar,hutan yang diterokai secara membuta dan tidak menjaga alam sekitar dengan baik.

Aku juga benar-benar berterima kasih kepada guru-guru mereka yang banyak membaja cintakan alam dan bumi kita di hati mereka.
Lapisan ozon yang semakin menipis, lantaran karbon dioksida yang menguasai alam akibat dari pemanasan global (global warming) menyebabkan habitat di artic dan antartica terancam menyentuh hati anak-anakku. Aku tahu mereka sayangkan beruang2 yang besar,berbulu lebat yang hidup di kawasan artic.

"You know ummi, a polar bear was found in the Canada City..looked for food...Imagine how far he traveled."

"I feel so sorry to him"

Sebahagian keluhan Along dan adik yang sempat ku recall kembali tatkala bercerita tentang kemusnahan alam sekitar.
Semoga nilai yang kucuba tanam di hati anak-anak bisa menjadikan mereka manusia yang tidak tamak. Sikap tamak dan pentingkan diri sendiri menyebabkan manusia sanggup membelakangkan amaran Allah agar mengasihi sesama makhluk.
Kasih mengasihi sesama manusia, menyintai makhluk Allah yang lain dan menyayangi alam sekeliling adalah nilai-nilai Islam yang harus disemai dalam diri setiap Muslim mukmin..

Isobel Street..

Monday, March 8, 2010

Secebis rasa

"Kak Tie sedang buat apa tadi?" Sapa tetamuku tika melangkah kaki masuk ke dalam rumahku."Kak tie tak de buat apa-apa..cuma duk belek-belek,baca-baca berita online tentang Malaysia." Aku menjawab..sambil mempersilakan tetamuku duduk di kerusi depan bench yang agak tinggi yang ada kat ruang dapur rumah kami. Rasanya lebih santai dan mesra untuk kami kaum perempuan berbual di dapur sambil membancuh minuman."Urm..kak ti baca surat khabar apa ek?""Semua surat khabar kak ti bukak dan baca,tak delah minat satu surat khabar je yang lain tak bukak..hehe."Meleret pulak rasanya jawapan aku padanya.

Aku akui kelemahan adalah sifat manusia. Tidak semua yang kita tahu orang lain juga mengetahui begitu juga tidak semua yang diperolehi orang, kita juga berpeluang mendapatkannya.Faktor ini antara penyebab aku memaksimumkan sumber bacaanku.
Aku jua akur dengan hakikat di sekelilingku. Agak sukar untuk memastikan sebuah kejujuran lantaran ramai yang bersikap persis Sang Munafik. Ku gagahi diri mempelbagaikan jenis sumber bacaan berita yang mampu diperolehi agar ketidaktepatan berita itu mampu diatasi.

Allah juga telah menitip arahan dan pesanan buat orang-orang yang beriman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ان جاكم فاسق بنبأ فتبينوا أن تصيبوا قوماً بجهالة فتصبحوا على ما فعلتم نادمين
Maksudnya: Wahai oang-orang yang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu..al-Hujurat:6

Barangkali untuk melengkapkan set soalan,dia menambah"Oooo..gitu..so berita apa kak ti baca?""Urmm..rasanya hampir semua berita yang ada kat surat khabar tu kak ti baca, jenayah,agama,keluarga, dalam negeri,luar negara hehehe..hiburan dan politik pun baca jugak."Aku cuba berlaku jujur dalam memberi setiap jawapan kepada temanku..seperti juga aku cuba bersikap jujur pada diriku sendiri dalam menilai setiap patah berita yang kuperolehi.

Manusia kadang tidak berlaku jujur lantaran khuatir andainya ia mengundang tidak senang orang padanya atau mengundang persepsi negatif terhadap dirinya. Aku fikir tiada salahnya aku jujur bahawa aku juga membaca berita politik dalam dan luar negara seperti juga aku membaca berita hiburan di tanahair dan dunia.

Aku tidak menafikan barangkali orang yang mengetahui bahawa aku membaca berita hiburan akan mengatakan bahawa aku sukakan warna-warni watak,musik mahu pun filem yang melanda segenap pelusuk inci alam secara membuta. Begitu juga tika mengetahui aku membaca berita politik,lantas kebarangkalian pesepsi yang bertandang ialah aku cenderung kepada hasutan,dendam dan tuduh menuduh. NA'uzubillah....Semoga Allah jauhkan aku dari segala yang keji.

Biarlah manusia menghukum kerana aku tahu sebaik-baik penghukum adalah Allah s.w.t.
Siapa kita untuk mengadili manusia tanpa ilmu dan hakikat. Yang pasti aku cintakan agama,sayangkan negara dan kasihkan sesama saudara. Aku tidak mahu menjadi manusia buta walaupun hakikatnya Allah kurniakan penglihatan yang baik untukku. Buta untuk membaca,bertanya,belajar malah buta untuk menilai antara kebaikkan dan kemungkaran. Pada aku, sengaja menjadi buta dari melihat apa yang berlaku dalam negara menjadikan kita manusia yang lembab,pasif dan tidak berdaya maju.

Betul..berita politik negara berbaur permusuhan. Hiburan negara bercampur dengan kemaksiatan. Namun kita ada akal dan pilihan untuk mencari kesimpulan. Aku impikan negara Malaysia yang sejahtera, pemimpin yang baik dan takutkan Allah, rakyat yang saling berkasih sayang. Aku sedar segala impian aku tak akan tercapai andai politik negara tidak berasaskan kepada tanggungjawab dan amanah pada TUHAN sekalian Alam.. Namun suatu yang tak wajar untuk aku nafikan, andai generasi muda yang takutkan TUHAN lupa untuk cakna pada politik negara maka negara akan kehilangan permata-permata berharga yang akan mencorak dan mewarnai negara ke arah politik yang sejahtera dan diredha Maha Pencipta. Membentuk negara,mengurus khazanah ummah dengan penuh amanah dan keinsafan adalah tanggungjawab yang terpikul di setiap bahu pemuda dan pemudi Islam.Pemimpian beriman, baik dan bertanggungjawab diperlukan untuk mentadbir segala urusan ummat islam.Balasan dan ganjaran buat mereka bukan sedikit di sisi Allah. Sesungguhnya Nabi junjungan s.a.w bersabda:

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم يقـول : " سبعة يظلهم الله فـي ظله يـوم لا ظل إلا ظله ، إمام عادل ، و شاب نشأ في عبادة الله ، و رجلان تحابا في الله اجتمعا عليه و تفرقا عليه ، و رجل ذكر الله خاليا ففاضت عيناه ، و رجل قلبه معلق بالمساجد ، و رجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه ، و رجل دعته امرأة ذات منصب و جمال فقال : إني أخاف الله رب العالمين " .
أخرجه البخاري و مسلم .
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a bahawa dia telah : Aku telah mendengar rasulullah s.a.w telah bersabda: Tujuh golongan Allah menaungi mereka dengan naunganNYA pada hari yang tidak ada naungan melainkan naungan Allah ialah: Pemimpin yang adil, pemuda yang hidupnya dalam ibadah kepada Allah, dua lelaki yang berkasih sayang kerana Allah di mana mereka berkumpul dan berpisah kerana Allah, Lelaki yang menangis kerana mengingati Allah, lelaki yang hatinya terikat dengan masjid,lelaki yang menyembunyikan sedekahnya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan tangan kanannya dan lelaki yang digoda oleh seorang perempuan yang memiliki kecantikkan untuk membuat kejahatan namun dia berkata:Sesungguhnya aku takut kepada Allah Tuhan sekalian alam..

Cakna pada negara, sensitif pada corak hiburan yang mewarnai negara membawa aku pada satu "rasa". "Rasa" untuk sama-sama berusaha agar manusia kembali kepada fitrahnya. Sesungguhnya fitrah manusia percayakan adanya Yang Maha Berkuasa, namun lupa bahawa yang Maha berkuasa itu juga Maha Melihat,Maha Mendengar, Maha Mengetahui dan kemuncaknya DIA Maha Menghisab dan DIA Maha Membalas setiap amalan manusia. Justeru larinya manusia dari fitrahnya menyebabkan manusia tidak jujur dan amanah pada diri sendiri, sanggup memusnah kepercayaan saudara seagama, mengkhianati negara tercinta, kemuncaknya tidak takut pada balasan Allah pencipta dia dan kita. Sebagaimana ia Mengundang jua "rasa" untuk membantu manusia kembali kepada seni dan hiburan yang tidak merosakkan jiwa dan lalai kepada Tuhan Yang MAha Berkuasa. Kemuncak segala rasa..rasa itu mengundang aku untuk mengingati dan berwaspada dengan janji Allah. Dua janji yang berupa samada keberkatan mahupun kemusnahan. Allah menjanjikan keberkatan andainya kita melaksanakan ketaatan. NAmun Allah juga tidak lupa untuk datangkan kemusnahan andainya kita membelakangkan ajaran dan lupakan TUHAN.

ولو أن أهل القرى آمنوا واتقوا لفتحنا عليهم بركات من السماء والأرض ولكن كذبوا فأخذناهم بما كانوا يكسبون

Maksudnya: Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertaqwa,pasti KAMI akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi tapi ternyata mereka mendustakan ayat-ayat Kami,maka Kami siksa mereka sesuai dengan apa yang mereka kerjakan..al-A'raf:96

Nukilan sebuah rasa
Isobel street

Thursday, March 4, 2010

Peribadi muslim mukmin..

Rabi'ulawwal datang lagi, ummat Islam menyambut bulan kelahiran junjungan besar tercinta.Pastinya selawat dan salam untuk baginda menjadi siulan lidah dan halwa telinga.Berarak sambil membawa bunga manggar tentunya rutin yang tak sempurna rasanya kalau tak dilunaskan kebanyakkan orang di sekeliling kita.

Namun hati bertanya: "Sebagai muslim,apakah sekadar itu makna sambutan hari kelahiran Rasulullah s.a.w, insan terhormat dimuliakan seluruh penduduk bumi dan langit?""Cukup bermaknakah penghormatan sebegitu kita berikan kepada Baginda s.a.w?" Hatiku terus berkata,berbagai persoalan lain datang bertimpa-timpa menggamit rasa yang sukar untuk diperkata. Lantaran dihayat baginda s.a.w ketika masih hidup,beliau sendiri pun tidak pernah menyambut hari kelahirannya. Tiada sebarang majlis keraian mahupun perarakan apatah lagi acara memotong kek. Justeru apakah tujuan sambutan kelahiran baginda s.a.w.

Bimbang hatiku andainya kita hanya menyambut tanpa cuba memahami dan menghayati ruh di sebalik sambutan kelahiran Baginda s.a.w. Aku risau andainya sambutan itu persis sambutan penganut Kristian terhadap kelahiran Jesus (nabi Isa a.s) yang menjadi adat seakan darah daging dalam kehidupan mereka. Ajaran sebenar nabi Isa hampir sudah dilupai oleh keseluruhan penganutnya,namun sambutan kelahiran beliau disambut besar-besaran seolah Isa a.s masih bernafas di muka bumi Allah ini.

Pastinya kita tidak mahu hanya gembira menyambut hari kelahiran baginda semata. Sejarah pernah melakar kegembiraan insan bernama Abu Lahab yang terlalu gembira menyambut berita kelahiran anak saudaranya bernama MUHAMMAD. Lantaran kegembiran itu, beliau menyembelih seekor kambing namun Abu Lahab gagal untuk memahami erti kelahiran Muhammad hingga telah menjadi orang yang sentiasa ingin menguburkan hayat baginda s.a.w.

Andai mampu kita soroti hikmah kenabian baginda diutuskan yang membawa cahaya ke segenap penjuru alam adalah detik terindah dalam hidup seorang muslim. Tentunya menambah keinsafan di hati,menghidupkan jiwa dan membajai iman kita.

Hadirnya Rasulullah membawa mesej ketuhanan di atas pakej kenabian melengkapkan kesempurnaan kejadian manusia.Allah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian:

"لقد خلقنا الإنسان في أحسن تقويم"
"Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia itu dengan sebaik-baik bentuk kejadian"

Cantik rupa paras,sempurna bentuk kejadian serta dikurniakan akal untuk membantu manusia membezakan yang baik dan buruk adalah antara faktor yang sepatutnya manusia dimuliakan.
Namun jangan kita lupa bahawa keelokkan itu bukan jaminan kita terselamat dari kehinaan yang maha dasyat. Allah s.w.t telah menegaskan:

ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ * إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ
"kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya.Kecuali orang-orang yang beriman dan melakukan amal kebaikan maka mereka akan memdapat pahala yang tidak ada putus-putus."

Nah! Amaran Allah bahawa Dia akan mencampakkan manusia ke lembah kehinaan,keburukkan dan kedhaifan lantaran sikap, perangai dan akhlak yang tidak pernah bersyukur terhadap anugerah kejadiaannya dan memuliakan ciptaan Allah pada dirinya.

Bagaimana cara untuk kekal dalam sebaik-baik bentuk kejadian? Tiada cara lain melainkan beriman kepada Allah dan melakukan amalan serta perbuatan yang baik. Awas wahai teman, mengakui bahawa diri beriman tanpa ada pembuktian dengan perbuatan dan amalan tidak memberi apa-apa jaminan. Cinta tanpa bukti tidak ada erti. Begitu juga iman tanpa amal tidak berguna. Kita percaya ada cinta dihati,lantas lidah dan bibir menuturkan ayat2 cinta kemuncaknya zahir perbuatan membuktikan kasih dan cinta yang tidak berbelah bahagi. Begitu juga cinta,kasih dan sayang pada Allah Rabbul 'Izzati.

Kehadiran Junjungan mulia Rasulullah s.a.w ke dunia mengajar dan menunjukkan cara bagaimana untuk beramalan mulia.

قال حبيبنا عليه الصلاة والسلام " إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق" (صححه الألباني في الصحيحة)"
وقال عليه الصلاة والسلام :" أكثر ما يدخل الناس الجنة، تقوى اللّه وحسن الخلق " [رواه الترمذي والحاكم].

"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak"
"Orang yang paling banyak memasuki syurga ialah orang yang bertaqwa dan baik akhlaknya"

Akhlak dan tingkahlaku yang mulia dan baik tidak pernah mengecewakan hatta satu makhlukpun di dunia ini. Seluruh penghuni alam pastinya akan senang dengan kehadiran insan yang berakhlak mulia. Sejarah membuktikan bahawa akhlak mulia Rasulullah s.a.w telah menawan hati puluhan ribu manusia untuk mengenal agama yang menyeru ke arah akhlak yang baik ini.

Amal kebaikkan yang berupa akhlak yang baik menjadi perhiasan dalam kehidupan mukmin hasil dari keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Yakin bahawa Allah Maha melihat, mendengar dan Maha Mengetahui samada yang zahir mahu pun batin memandu mukmin untuk bersikap jujur dengan Allah dan seluruh manusia. Alangkah indahnya menjadi muslim mukmin, iman yang terpasak, taqwa yang dibajai, akhlak murni yang menghiasi diri pastinya tidak dipersia-siakan ILAHI..Janji Rabbul Izzati bahawa si empunya diri yang beriman,bertaqwa dan berakhlak mulia dengan syurga Firdausi menanti pasti Dia penuhi.

Isobel street

Tuesday, March 2, 2010

Rasa hati

Melihat keletah si kecil cerdik seperti umaira dan 'atiq meruntun rasa rindu membuak di hatiku. "Andai Aminah masih bernyawa pastinya sudah mula merangkak sekarang.."Bicara seperti itu sentiasa datang tatkala melihat anak2 kecil. Naluri keibuan yang bertapak menggamit rasa kasih dan rindu pada permata hati meskipun dia telah dijemput Ilahi. Ingatan yang tak pernah padam bukan bermakna tiada kepasrahan menghadapi kenyataan. Ku cuba bajai kesabaran pada hati semoga rasa tenang hadapi dugaan terus mewarnai kehidupan.

Sesekali hatiku jua terdetik"Kenapa sampai saat ini rezeki itu masih tak kunjung lagi?""Adakah bermakna Allah tidak mengasihiku?atau memang rezeki itu bukan untukku?" Ku katakan pada diri...aku tidak layak untuk mempersoalkan tentang rezeki. Ia adalah milik Allah dan hanya Allah yang layak mengatur segala pemberian dan kurniaannya untuk mana-mana hamba yang dikehendaki. Memberinya Allah tidak bererti Dia kasih pada kita dan Dia tidak memberi rezeki pada kita bukan bermakna DIa membenci kita. Kasih dan benci, marah dan sayang Allah terletak pada iman dan taqwa hamba.

Allah Pencipta kita, Dia maha mengetahui apa yang baik dan buruk untuk kita. Dhaif dan lemahnya akal manusia sering tersilap dalam menilai dan membuat perkiraan. Namun Agungnya Azza wajalla sentiasa tepat dalam setiap tindakan. Untuk apa kita berduka..untuk apa kita kecewa lantaran segalaNya datang dari yang Dia Maha Esa.

Sebagai hamba..Kita berdoa,kita memohon pada Sang Pencipta moga perhatianNYa,kasih sayangNYa tidak pernah lekang barang sekelumit dari sisi kita. Memanjat harapan pada Yang Esa agar segala yang menimpa kita merupakan rahmah dan kesempatan yang mendekatkan diri padaNYa..menjadi penyebab diri berhak mendapat perhatian dan maghfirahNya.

Isobel street
Bentley

Monday, March 1, 2010

Subhanallah

Kucapai Tafsir al-Munir tulisan pengarang tersohor dunia Islam. Dr Wahbah az-Zuhayli nama besar yang banyak berjasa dan berbakti untuk Islam dan penganutnya telah berbudi menghasilkan karangan yang bukan sedikit nilainya untuk ummat Islam. Tiada jalan untuk kita mencipta alasan,mengelak dari mentadabbur dan membina kefahaman dari ayat-ayat Allah yang ditafsir dalam bahasa yang cukup mudah dan cantik."Ishhh..tak dapat bayangkan bagaimana banyaknya pahala yang dr Wahbah dapat daripada penulisan Tafsir al-Munir ini.." Suamiku tiba-tiba bersuara.Dari tadi tekun membelek2 salah satu jilid dari deretan jilid Tafsir al-Munir yang tersusun. Aku diam..membayangkan makna yang tersurat di balik kata-kata suamiku. "Bayangkan tiap saat kitab ini dibaca seorang muslim sahaja.Kemudian muslim tadi menyebarkan kefahaman dari bacaan kitab tadi kepada manusia lain..alangkah besarnya pahala yang disediakan Allah untuknya.."Tanpa dipinta..suamiku menghuraikan kekagumannya terhadap balasan baik yg mungkin Dr Wahbah perolehi."A'aa lah..tapi nak kata..bukan seorang pada setiap masa yang menggunakan kitab beliau..entah berapa ramai lagi yang menggunakannya kemudian menyebarkannya.."Subhanallah..Hanya perkataan itu sahaja yang mampu kulafazkan..Sesungguhnya benarlah..Allah mampu menggandakan setiap amalan baik anak Adam yang beriman sehingga tujuh ratus kali ganda.

Manusia berlumba-lumba menambah simpanan untuk kehidupan dunia. Ada yang membeli saham murah yang berpotensi dengan harapan mampu memberi pulangan yang besar jika dijual ketika harganya melambung tinggi. Ada manusia yang tidak lagi perlu memikirkan masalah kewangan lantaran harta dunianya sentiasa bertambah.Dengan perniagaan yang teguh dan kuat serta rangkaian perniagaan yang banyak sudah tentu menambah dan menggandakan kekayaan dan kemewahan yang sedia ada. Semua usaha itu dirasakan berbaloi lantaran kelebihan itu mampu dilihat dan dirasa oleh pancaindera diri sendiri.Segala susah payah,jerit perih sebelum kejayaan membina empayar kemewahan dan kekayaan rela diredahi lantaran
pulangannya yang amat lumayan. Jatuh bangun membina perniagaan tak pernah menjadikan diri serik.

Namun sayangnya semua kemewahan itu adalah bersifat memenuhi keperluan sementara. Suatu hari kita akan pergi meninggalkannya dan harta dunia yang melimpah ruah tidak sedikit pun memberi manfaat kepada kehidupan alam yang kekal selama-lamanya. Andainya kita sedar, tiba saatnya nanti kita juga amat memerlukan suatu benda yang sifatnya "kemewahan dan harta kekayaan" tapi bukan dalam bentuk wang ringgit, tanah dan aset berbentuk fizikal.Kita dambakan kemewahan pahala dari Allah yang bakal memudahkan sakaratul-maut,meluaskan ruang kubur di alam barzakh,memberatkan timbangan amal kebaikkan dan mampu menempatkan kita di mahligai syurga Allah yang kekal abadi.

Tiada lagi kehidupan selepas kita dibangkitkan Allah setelah kematian bermakna kita hanya bergantung kepada pahala amalan baik yang ada bersama kita sebelum kematian untuk bekalan kehidupan kedua sifatnya kekal selama2nya.

Sungguh!!! Allah itu MAHA Penyayang..

Sabda junjungan RAsulullah tercinta ada melafazkan..
"Apabila matinya seorang anak Adam,terputuslah dia dengan amalan dunia melainkan tiga perkara: Sedeqah jariah,ilmu yang bermanfaat dan anak2 yang soleh."

Hanya tiga elemen inilah yang mampu menjadi saham yang tak akan putus malah mungkin bersifat melimpah ruah bagi insan mulia yang bersusah payah mngumpul modal dan membina perniagaan yang tak nampak untungnya pada mata zahir tapi nyata pulangannya pada mata iman dan hati yang bertaqwa tika hayat di dunia.

Nah! Di saat orang lain berebut mengharapkan sisa amalan baiknya dilihat oleh Allah..mungkin Pengarang Tafsir MUnir ini bersenang lenang dengan saham pahala yang melimpah ruah lantaran ilmu bermanfaat yang dicurahkan.SUBHANALLAH..

ayuh..kita korek dan gali ilmu dan kepakaran..pasakkan dengan nawaitu yang murni kerana Allah Tuhan sekalian Alam..sematkan azam dan tekad..akan kita curah dan sampaikan segala ilmu dan kepakaran buat Islam dan ummat tercinta..moga menjadi saham yang berlipat ganda di saat tiba masa dan waktu "terputus amalannya dengan dunia melainkan TIGA PERKARA.."

Isobel street..Bentley..

Thursday, February 25, 2010

Oh! TUHAN.....

Merenungi wajah bersih 2 puteraku tersayang mengundang rasa yang bercampur2 tak mampu untuk kutafsirkan. Gembira,sedih kadang bersalah bersimpang siur menggamit rasa yang seakan tak selesa untuk dinikmati. Naluri ibu terasa bahagia tatkala menatap wajah anak yang membesar di depan mata,dikurniakan kesihatan yang baik fizikal dan mental oleh Yang Maha Esa.Namun aku juga tak mampu untuk menghalang perasaan sedih dan bersalah hadir mengganggu rasa bahagia yang bertandang. Masih banyak yang patut ku laksanakan untuk mereka namun keterbatasan masa dan waktu yang ada tidak mengizinkan aku untuk membuat segala-galanya. Aku tak mampu membuang rasa bersalah lantaran aku terpaksa akur kerana kelemahan itu berpunca dari diriku jua.Mungkin lemahnya sikap dan keazaman mendisiplinkan diri dan gagal menjaga dan menggunakan waktu dan kesempatan yang ada sebaik mungkin menyebabkan aku gagal melaksanakan banyak lagi tangungjawab untuk mereka.

Kekadang hatiku turut berkata kenapa tidak ku peruntukkan seluruh masaku yang ada hanya untuk keluarga tercinta tanpa perlu meluangkan masaku juga untuk kepentingan lain.Untuk apa aku bersusah payah memikirkan masalah lain sedangkan anak dan suamiku juga memerlukan aku di samping mereka sepenuh masa?

Cepat-cepat kutepis segala perasaan songsang yang sarat dengan aturan nafsu yang tiada kesudahan.Kita bukan diciptakan Allah hanya untuk melayan kehendak diri sahaja tapi kita dipertanggungjawabkan Allah untuk bersama menjaga sesama manusia lain. Masih terngiang nasihat demi nasihat para pensyarah kuliyyah dakwah tika aku masih di university. Mengingatkan aku dan teman2 peranan seorang insan lebih-lebih lagi yang punyai ilmu.

Membantu sesama manusia, memberi selagi yang ada pada kita dan mencurah selagi mampu adalah amanah Yang Esa pada kita.Itu adalah ketetapan Allah..Pencipta kita..
Lupakah aku bahawa segala aturan terletak pada kekuasaanNYA.Lupakah aku bahawa aku dihidupkan ada matlamat dan tujuannya. Lupakah aku bahawa hidupku di alam ini bukan bersifat selama-lamanya.

Duhai hati..ingatkan pada diri bahawa aturan,jagaan dan jaminan adalah milik Allah s.w.t. Yakinlah wahai diri bahawa putera-puteramu itu di bawah jagaan Allah jua. "Sekiranya kamu menolong agama Allah nescaya Allah menolong mu."Semoga perhatian Allah tidak pernah lekang dari sisiku. Kudambakan jaminanMu ya Allah..siapalah aku seandainya hanya sekelip Kau memalingkan perhatianMua dari ku...

YAng amat kerdil..
Isobel street

Ya RAHMAN..Tenangkan ayah di alam sana..

25 Dec 2009..tarikh ini akan sentiasa tersemat di sanubariku..Saat ayahanda dijemput pulang oleh Yang maha Esa..khabar pemergiannya seolah merentap segenap urat saraf dan nadi tubuhku..Sukar untukku gambarkan perasaan ini..Hanya bagi yang telah melalui kehilangan orang tersayang sahaja mampu untuk mengerti..
Aku akur pada ketentuan..setiap yang hidup pastinya akan pergi jua..Namun siapakah yang bisa untuk menahan diri dari kesedihan lantaran menyedari bahawa diri tak mampu lagi untuk mendengar kata bicara dan nasihatnya lagi..Hilang sudah marah,leteran,gelak tawa yang sentiasa mewarnai rumah kami. Seorang ayah yang garang sifatnya tapi sarat dengan kasih sayang untuk anak-anaknya..Kalau bukan sikap garangnya..mungkin aku bukan seorang aku pada hari ini.Mampu untuk mengenal dan membezakan yang hak dan batil hasil didikan dan sikap garang ayah yang tegas dalam soal agama dan syariat..
Kenangan sewaktu kecil tak mampu ku padamkan dari ingatan.Ayah akan pastikan kami adik beradik akan solat berjemaah di surau peninggalan arwah atuk yang hanya beberapa langkah di hadapan rumah kami. Ayah juga akan pastikan kami membaca Quran 3 kali sehari.Setiap pagi sebelum ke sekolah aku akan menangis kiranya terlewat ke sekolah..namun ayah akan pastikan juga aku dan adik2 membaca Quran.."ambik keberkatan Quran katanya" selain rutin selepas zohor dan maghrib..Aku masih ingat..lantaran menunggu ayah dan cek habiskan bacaan quran mereka selepas isyak..aku dan adik sering terlena di surau.Ayah tak pernah mengejutkan kami adik beradik untuk bangun berjalan sendiri dalam keadaan termamai-mamai mengantuk.Ayah akan angkat dan dukung kami seorang demi seorang,katanya"nanti otak jadik tak elok kalau diganggu sebegitu".Aku kadang2 pura-pura tidur..lantaran malas untuk bangun berjalan sendiri.
Dalam garangnya sikap ayah..kasihnya buat kami melaut. Ayah amat berjimat cermat dalam berbelanja untuk aksesori tapi sangat boros untuk keperluan pembelajaran anak-anak..cakap sahaja berapa cikgu nak kat sekolah..ayah akan bagi tanpa banyak soal.
Aku masih ingat tatkala aku mendapat keputusan cemerlang semasa tahun akhir 4 thanawi..ayah merupakan orang yang paling gembira..Saat aku mahu melanjutkan pelajaran ke seberang laut..ayah membuat kenduri kesyukuran besar-besaran mengalahkan kenduri perkahwinan aku sendiri..Terlalu banyak kenangan-kenangan yang tak mampu ku buang dari ingatan ini..mengundang sebak yang tak tertahan..
Ayah..
Walaupun jasadmu tak dapat kami sentuh dan lihat dengan mata zahir lagi..semangat ayah sentiasa hidup dalam diri anakmu ini. sentiasa mengharap hadir ayah dalam mimpi akan mengubat kerinduan yang bersarang di hati..
Kekadang sedih memikirkan diri ini tak sempat untuk berada di samping ayah ketika hembusan nafas terakhir..namun aku yakin..ayah tak kecewa lantaran perpisahan jarak ini tak mungkin untuk ku terbang sekelip mata. Ayah orang yang mementingkan ilmu dan pelajaran..dan inshaAllah akan ku gapai impian ayah untuk melihat ku belajar hinggan PHD itu akan tertunai suatu hari nanti..
Akan ku ingat dan amalkan pesanmu .." jangan lupa doa untuk dua ibu bapa" pesan ayah sehari sebelum pemergian.
Ya Allah..tempatkan ayah bersama-sama hamba-hambaMU yang soleh dan beriman.Ampunkan lah dosanya dan kasihanilah dia sebagaimana dia mengasihaniku ketika ku kecil....

cetusan hati..
anak yang menyayangimu..
Isobel st..Bentley